SELAMAT DATANG KE BLOG WAN MAZIAH

Terima kasih kepada anda yang melawati ke blog ini

Jumaat, 4 Jun 2010

Takaful adalah pilihan utama masyarakat terutamanya kepada Umat Islam

Perkembangan sihat kelahiran Sistem Kewangan Islam sejak kebelakangan ini membuka jendela baru kepada umat manusia terutamanya kepada umat Islam untuk turut serta memenuhi tuntutan yang diwahyukan oleh Pencipta mereka. Ini kerana Islam yang merupakan cara hidup manusia adalah merupakan agama fitrah yang sudah tentu memenuhi segala tuntutan kehidupan manusia di dunia ini.

Usaha pihak Bank Negara Malaysia (BNM) meluluskan lesen-lesen penubuhan Perbankan Islam dan Takaful kepada beberapa institusi kewangan yang layak seharusnya dipuji dan dihargai kerana ianya mempermudahkan laluan melaksanakan tugas murni ini. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abi ’Amru Jarir bin Abdullah r.a. yang memuji tindakan sedemikian rupa di mana mafhumnya berbunyi:

" Barangsiapa yang menunjukkan (mempermudahkan sesuatu urusan) perkara kebaikan, maka baginya pahala dan pahala sesiapa yang beramal dengannya selepas itu tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya " (Riwayat Muslim)

Oleh itu, usaha murni BNM ini dalam memberi laluan pelaksanaan sistem yang dianjurkan oleh Islam ini bakal diganjari oleh Allah Taala dengan izinNya.

Jika dahulu, kedengaran pelbagai rungutan dari kalangan umat Islam yang tidak selesa dengan sistem yang bercampur-baur dengan sistem yang tidak senada dengan Islam, tetapi kini, Sistem Islam itu telah muncul kembali ibarat ’penyelamat’ umat manusia daripada terus-menerus berada di dalam cengkaman sistem yang tidak berlandaskan hukum Islam yang sebenarnya.

Tetapi malangnya, ada juga sesetengah pihak yang masih berat hati untuk turut serta menyokong dan melibatkan diri dalam memajukan sistem Islam ini dengan mencipta seribu satu alasan. Malah, ada juga suatu golongan yang cuba untuk memburukkan imej Sistem Kewangan Islam ini dengan cubaan-cubaan halus bagi melumpuhkan usaha murni ini. Kepada golongan tersebut, diperingatkan satu firmanullah s.w.t. yang bermaksud:

" Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya. " (Surah Ibrahim : 3)

Sebagaimana yang dimaklumi, Institusi Takaful sebagai contohnya, adalah merupakan Institusi Pelindungan (Insurans) yang berteraskan prinsip Islam. Institusi ini selayaknya disokong dengan bersungguh-sungguh kerana ianya merupakan suatu sistem yang membawa manusia kepada konsep tolong-menolong yang diredhai Allah, bukan tolong menolong yang bakal mengundang kemurkaanNya. Ini diperjelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah al-Maidah ayat 2, maksudnya:

" … hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…"

Kesimpulannya, sudah tiba masanya untuk kita melibatkan diri dan bekerjasama dalam merealisasikan hasrat baik ini bagi memerdekakan umat manusia daripada terjebak terus-menerus mengamalkan sistem-sistem yang lari daripada paksi Islam yang sebenarnya kepada Sistem Islam yang memberikan keadilan kepada semua pihak.

Haruslah disedari oleh semua umat Islam bahawa, dengan adalah kemudahan kewangan Islam seperti perbankan dan takaful di pasaran, maka ianya bukan lagi menjadi pilihan yang lebih baik malah, ianya telah menjadi satu tuntutan atau kewajipan untuk memilih kemudahan kewangan Islam jika keperluan untuk memilih timbul

Tiada ulasan:

Catat Ulasan