SELAMAT DATANG KE BLOG WAN MAZIAH

Terima kasih kepada anda yang melawati ke blog ini

Jumaat, 4 Jun 2010

Al-Wakalah – Konsep dan aplikasi dalam Operasi Takaful

Perkataan al-Wakalah adalah diambil daripada perkataan bahasa Arab yang membawa maksud perwakilan. Amalan al-wakalah ini pada hakikatnya adalah merupakan amalan yang diharuskan oleh Syara’ kerana keperluannya yang cukup diperlukan untuk mencapai suatu matlamat. Sudah menjadi fitrah kejadian manusia yang tidak sunyi daripada kelemahan kerana manusia tidak dibekalkan dengan kesempurnaan. Ini telah diwarwarkan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah an-Nisa’, ayat 28 dengan maksudnya:

"…manusia itu dijadikan berkeadaan lemah."

Justeru, Islam mengharuskan prinsip al-Wakalah untuk dilaksanakan dengan syarat ianya tidak lari daripada perundangan Islam. Pengharusan ini bersumberkan kepada sumber-sumber berikut:

1. Berdasarkan kisah Ashabul Kahfi sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran: "…sekarang utuslah (wakilkanlah) salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah dia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya" (Maksud Surah al-Kahfi:19)

2. Di dalam as-Sunnah pula diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah mewakilkan ’Urwah al-Bariqi supaya membeli kambing untuk korban. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Ahmad, Abu Daud, at-Tarmizi, Ibn Majah dan al-Daruqutni iaitu daripada ’Urwah sendiri).

Amalan al-Wakalah sebagaimana yang diamalkan oleh segelintir pengendali Takaful di Malaysia adalah sangat-sangat diperlukan bagi memasarkan produk-produk insurans yang berteraskan Islam kepada masyarakat. Tugas ini sangat diperlukan oleh pengendali Takaful bagi merancakkan dan memeriahkan lagi penyebaran produk-produk yang berteraskan prinsip Islam.

Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful IKHLAS) umpamanya, menggunakan model yang diberi nama al-Wakalah sebagai asas induk kepada sistem operasinya. Prinsip al-Wakalah yang dilaksanakan oleh Takaful IKHLAS bagi menjalankan operasinya ialah di mana Takaful IKHLAS sebagai wakil kepada para peserta bertanggungjawab untuk menguruskan segala dana yang telah diwujudkan dengan penuh amanah, telus dan professional. Bagi tujuan tersebut, Takaful IKHLAS mengenakan caj pengurusan dan prestasi berasaskan kepada prinsip perwakilan yang dibayar upah (al-Wakalah bi al-ujrah).

Takaful IKHLAS juga melantik wakil-wakil bagi menjadi wakil sebagai perantara dalam memasarkan produk-produk syarikat dengan dibayar upah. Aqad diantara para wakil dan Takaful IKHLAS adalah berasaskan aqad al-wakalah. Konsep ini sejajar dengan prinsip Islam sebagaimana amalan Rasulullah s.a.w. yang pernah mengutuskan pegawai (pekerjanya) untuk menerima zakat dan Baginda s.a.w. memberi upah kepada mereka (al-Talkhis al-habir, Jil. 1, hlm. 176, 251, 271).

Di dalam prinsip Islam, apabila dilaksanakan kontrak wakil dengan bayaran upah, maka kontrak itu adalah sah dan mengikat. Ini bererti semua pihak bertanggunjawab melaksanakan semua perkara yang dipersetujui di dalam aqad tersebut.

Perbincangan tentang kontrak perwakilan didalam Islam semestinya dikaitkan dengan empat sifat utama, Siddiq (Jujur), Amanah, Tabligh (Menyampaikan) dan Fatanah (Bijaksana). Keempat-empat sifat ini mestilah ditanam, dijiwai dan diterjemahkan dalam urusan perwakilan oleh setiap wakil demi mencapai kehidupan yang berkualiti di dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, konsep perwakilan sebagaimana yang diamalkan oleh beberapa pengendali Takaful adalah peluang pekerjaan dan salah satu daripada punca pendapatan. Para wakil juga berpeluang melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang da’ie yang mengajak masyarakat membantu antara satu sama lain, melakukan tabarru’ serta membangungkan sistem muamalat Islam yang merupakan suatu tuntutan agama keatas setiap muslim. Hasilnya di dunia mereka memperolehi pendapatan untuk keperluan hidup dan di akhirat mereka mendapat ganjaran sebagai bekalan dihadapan Allah s.w.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan