SELAMAT DATANG KE BLOG WAN MAZIAH

Terima kasih kepada anda yang melawati ke blog ini

Jumaat, 4 Jun 2010

Pengenalan Kepada Sistem Muamalat & Ekonomi Islam

Sesungguhnya Islam mencakupi tiga bidang perhubungan manusia yang utama iaitu hubungan dengan Tuhannya, hubungan manusia dengan dirinya sendiri dan hubungan manusia dengan masyarakatnya. Ini adalah kerana Islam bukan sahaja menekankan amalan di dunia semata-mata, malah merentasi alam akhirat.

Alangkah indahnya bagi mereka yang dapat menghayati dan mengamalkan Sistem Islam yang syumul (menyeluruh) sifatnya. Mana tidaknya, daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya termaktub dalam ajaran Islam. Sebab itu, kita membenarkan slogan Islam sebagai cara hidup manusia! Di antara cabang dalam Islam itu ialah menekankan aspek Muamalat. Secara umumnya, konsep muamalat ialah segala aktiviti dan hubungan di antara manusia dengan manusia. Konsep muamalat ini amat luas skopnya, memadailah pada artikel ringkas ini mengkhususkan sistem ekonomi Islam sebagai tajuk pengkhususannya.

Hakikatnya, Sistem Ekonomi Islam sebenarnya bertunjangkan aqidah yang kuat kerana dengan tunjangan aqidah inilah, sistem ekonomi Islam dapat terlaksana dengan sempurna. Ini kerana pelaksana kepada sistem ekonomi Islam ini sewajarnya mengetahui segala tindakan yang dibuat mestilah selari dengan pandangan Ilahi, dengan itu, akan lahirlah keredhaan daripadaNya.

Prinsip ekonomi Islam mementingkan perkara-perkara berikut:

1. Sesuatu urusniaga yang dilaksanakan hendaklah bertepatan dengan Syariat Allah kerana dengan berpandukan kepadanya kita bakal memperolehi keuntungan duniawi dan ukhrawi. Usaha ini memerlukan kepada pengetahuan dan pemahaman yang betul berkenaan soal halal dan haram sesuatu transaksi. Firmanullah s.w.t.:

Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Maksud Surah al-An’am:162)

2. Pelaksanaan sistem ekonomi sewajarnya mementingkan konsep keadilan dan kepentingan sejagat. Perkara ini jelas dengan memahami bahawa setiap manusia mempunyai hak-hak yang tertentu yang perlu dipenuhi dengan saksama. Maksud firmanullah s.w.t.:

(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w.) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. (Surah al-Hashru:7)

3. Keikhlasan dalam memperjuangkan sistem ekonomi Islam ini mesti bergerak seiring dengan usaha tersebut agar ianya akan membuahkan hasil yang cukup cemerlang dan lumayan yang bersesuaian dengan pandangan Syariah Islam. FirmanNya lagi yang bermaksud:

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar." (Surah al-Bayyinah:5)


Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk turut serta memperjuangkan Sistem Ekonomi Islam ini sebagai salah satu cabang dalam Muamalat Islam. Jika tidak sebagai penggerak pun, memadailah sebagai penyokong dan pengguna!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan